Bekas PM Pakistan dalam senarai ECL
Terima dana haram dari luar, langgar undang-undang negara

ISLAMABAD, 5 Muharram 1444H, Rabu – Susulan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (ECP) berhubung kes pembiayaan dana haram yang diterima parti Tehreek -e-Insaf, kerajaan semalam membuat keputusan menamakan pemimpin PTI dan beberapa pengikut dalam Senarai Kawalan keluar (ECL).
Kerajaan juga sebulat suara meletakkan bekas Perdana Menteri Imran Khan, bekas gabenor Khyber- Pakhtunkhwa dan Sindh serta bekas Pengerusi Perbadanan Kedai Utiliti (USC) Zulqarnain Ali Khan dalam senarai ECL.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunggu kelulusan daripada Kabinet Persekutuan untuk meletak kesemua nama berkenaan dalam senarai ECL.
Terdahulu, ECP mengumumkan parti berkenaan menerima dana haram dari luar negara, yang menyalahi undang-undang di Pakistan
Bagaimanapun, jurucakap parti PTI yang diwakilinya, menafikan salah laku terbabit.
“Kami akan mencabar keputusan ini,” kata jurucakap, Fawad Chaudhry, kepada pemberita di luar pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan di ibu negara, Islamabad.
Chaudhry berkata, dana berkenaan diterima daripada warga Pakistan di luar negara, yang tidak menyalahi undang-undang.
Imran adalah Perdana Menteri dari 2018 hingga April tahun ini apabila beliau terpaksa berundur selepas kehilangan undi percaya yang dikatakannya hasil konspirasi Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan bahawa tribunal suruhanjaya mendapati parti itu mendapat pembiayaan daripada 34 warga asing atau syarikat asing. – Agensi