Kapal bawa 26,000 tan jagung dari Ukraine tiba di Selat Bosphorus
Pemeriksaan bahan terlarang sebelum teruskan perjalanan ke Lubnan

ANKARA, 5 Muharram 1444H, Rabu – Kapal pertama yang membawa bijirin dari Ukraine tiba di Selat Bosphorus, semalam.
Kapal Razoni yang membawa muatan 26,000 tan jagung akan menjalani pemeriksaan awal pagi ini sebelum meneruskan perjalanan ke Lubnan.
Kapal berkenaan berlepas dari Pelabuhan Odesa di Ukraine 1 Ogos lalu menuju ke Tripoli di Lubnan melalui Perairan Turki.
Kapal yang menggunakan bendera Sierra Leone akan menjalani pemeriksaan bagi bahan terlarang oleh pasukan keselamatan Ukraine, Russia,Turki dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum transit melalui Selat Bosphorus.
Russia sebelum ini menyekat pelabuhan Ukraine sejak menawan negara itu Februari lalu sekali gus memberi kesan kepada kekurangan makanan di peringkat global.
Menerusi perancangan yang dimeterai antara Turki dan PBB, bulan lalu, kedua-dua pihak bersetuju aktiviti eksport disambung semula.
Ukraine menjelaskan, kapal tentera laut akan menggunakan kapal kargo dan melalui perairan yang selamat.
Sementara itu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berhasrat eksport bijirin kembali beroperasi dan berterusan seperti sedia kala.
“Matlamat kami apabila sebuah kapal meninggalkan pelabuhan akan ada kapal-kapal lain tiba dan meneruskan perjalanan dan menjadikan aktiviti eksport kembali beroperasi seperti sebelum ini,” katanya.
Malah, pemimpin utama negara itu berharap, keadaan berkenaan bukan sahaja menyelesaikan masalah keselamatan makanan di peringkat global tetapi juga memberi peluang kepada petani Ukraine meneruskan hasil tuaian pada masa akan datang. – Agensi