PAC akan mulakan prosiding berkaitan pengurusan mitigasi banjir KL
Menteri, ketua setiausaha akan dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR, 5 Muharram 1444H, Rabu – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memulakan prosiding berhubung isu pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur bernilai RM329.33 juta yang belum mencapai objektif ditetapkan.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pihaknya akan memanggil pihak berkaitan termasuk menteri dan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan bagi memberikan keterangan.
“Kebiasaannya saksi yang pertama akan dipanggil adalah KSU (Ketua Setiausaha) Kementerian Wilayah Persekutuan dan pastinya dalam kes ini kita juga akan memanggil menteri untuk memberikan keterangan terhadap isu-isu yang berbangkit di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 1,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Menurut LKAN Tahun 2021 Siri 1, cadangan langkah mitigasi banjir fasa jangka pendek (2018-2022) di bawah Pelan Induk yang belum dilaksanakan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyebabkan masalah banjir kilat belum dapat diatasi.
Selain itu, masih berlaku kejadian banjir kilat selepas projek mitigasi banjir dilaksanakan.
Wong berkata, prosiding bagi isu-isu lain dalam LKAN Tahun 2021 Siri 1, termasuk Pencapaian Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Bangunan Parlimen bagaimanapun akan dimaklumkan kemudian, tertakluk kepada perbincangan lanjut ahli-ahli PAC.
Sementara itu beliau berkata PAC mempunyai hubungan erat dengan Jabatan Audit Negara dalam memastikan undang-undang, prosedur dan tatacara kewangan serta tadbir urus kerajaan sentiasa dipatuhi.
“Dalam tempoh dua tahun sejak 2020, PAC telah mengadakan prosiding untuk 16 isu yang dibangkitkan dalam LKAN dengan 11 laporan PAC telah dibentangkan manakala lima isu lagi masih di peringkat prosiding dan penyediaan laporan,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan PAC akan membentangkan Laporan PAC berhubung Perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat esok.
Sementara itu, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid yang turut hadir dalam sidang media berkenaan berkata tiga pembaharuan dilakukan terhadap LKAN yang meliputi laporan audit yang ringkas, pembaharuan kepada dashboard AG (Ketua Audit Negara) di laman sesawang serta infografik di setiap tajuk laporan supaya mudah difahami pembaca.
Sembilan pengauditan prestasi bernilai RM10.749 bilion dilaksanakan melibatkan program, aktiviti dan projek di lapan kementerian dalam LKAN Tahun 2021 Siri 1. – Bernama