Berita Utama

Pemimpin Islam perlu bersatu selamatkan akidah anak Loh

Jangan cepat rasa selesa selagi Islam tidak ditegakkan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 5 Muharram 1444H, Rabu – Setiap pemimpin Islam tanpa mengira parti politik perlu bersatu dalam mendaulatkan syariat Islam, terutama sekali sekiranya mereka masih lagi beriman kepada Allah SWT dan Rasul.

Gesaan itu disuarakan Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mencabar tindakan bekas suaminya mendaftarkan tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.

Terdahulu, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, ketika membenarkan permohonan itu berkata, permohonan Loh mempunyai merit untuk didengar.

Berikutan itu, Ustaz Masridzi menggesa usaha untuk memperkasakan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 disegerakan.

Beliau turut meminta perundangan dan Mahkamah Syariah diperkasakan selain menyelesaikan segera masalah pertindihan kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil.

Menurutnya, jika undang-undang Mahkamah Syariah tidak ditinggikan dan hanya bergantung kepada undang-undang sivil sedia ada, maka usaha untuk menyelamatkan akidah umat Islam akan sentiasa berdepan dengan kegagalan dan kehinaan.

“Jika anak-anak keluarga ini nanti murtad sebagaimana agama ibunya, siapakah yang nak bertanggungjawab?” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, Ustaz Masridzi yang juga Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengingatkan pemimpin supaya tidak cepat rasa selesa selagi Islam tidak ditegakkan.

“Kerajaan akan menanggung dosa sekiranya akidah umat Islam gagal diselamatkan,” katanya.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/08/01/loh-siew-hong-dibenar-cabar-penukaran-agama-tiga-anak-beragama-islam/
https://ismaweb.net/2022/08/01/sedar-tak-sedar-mahkamah-benar-proses-cabar-agama-anak-loh-pembela/
https://ismaweb.net/2022/08/03/mana-pemimpin-islam-ketika-loh-siew-hong-perjuang-murtadkan-anaknya/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button