Berita Utama

PRU15: Peluang Ismail Sabri kekal kerusi PM ‘amat tipis’

PM sempat susun strategi jika PRU diadakan selepas berakhirnya penggal Parlimen ke-14

BANGI, 5 Muharram 1444H, Rabu – Tumpuan kini pastinya terarah kepada pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkenaan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti diluluskan Parlimen, baru-baru ini.

Prof Datuk Dr Jayum Jawa berkata, persoalan penting adalah kebarangkalian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kembali menduduki kerusi Perdana Menteri selepas PRU15.

Penyandang Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu (TSEJRC), Fakulti Ekologi Manusia UPM itu berkata, jika dilihat dari sudut kelaziman politik berasaskan sistem demokrasi berparlimen, maka jawapannya adalah ‘amat tipis’.

Namun, beliau berkata, seorang Perdana Menteri mempunyai sumber yang luas dan pelbagai untuk ‘melukis’ serta memastikan ia ‘boleh jadi’ walaupun bukan amalan biasa.

“Hakikatnya, politik adalah ‘seni pelbagai kemungkinan’. Ia boleh berulang atau tidak dan semua bergantung kepada percaturan strategik serta berkesan Ismail Sabri.

“Transformasi politik negara yang menyaksikan Perdana Menteri boleh dilantik dalam kalangan bukan ketua parti atau ketua perikatan parti menunjukkan sifat dinamik amalan politik itu sendiri,” katanya menulis di Berita Harian.

Justeru, katanya, ini adalah peluang Ismail Sabri meninggalkan dimensi politik Malaysia pasca Pilihan Raya 2018.

Beliau menjelaskan, jika PRU15 diadakan selepas tempoh sah Parlimen ke-14 ini berakhir, ia akan memberi kelebihan kepada Perdana Menteri untuk menyusun strategi menentukan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“… selain memastikan jawatan nombor satu negara kembali kepada BN menerusi sokongan dan majoriti meyakinkan,” katanya.

Bagaimanapun, Prof Jayum mengingatkan, meskipun negara ketika ini sedang beransur pulih daripada COVID-19, ancaman itu tetap di paras yang menuntut rakyat terus berjaga-jaga dan berwaspada.

Selain ancaman berkenaan, masyarakat juga sedang menanggung beban kesan kenaikan harga barang, sekali gus memberi tekanan hidup kepada rakyat.

“Justeru, keutamaan yang sepatutnya adalah mengurus dengan berkesan dan cekap segala isu ini daripada mengheret rakyat ke kancah politik untuk memuaskan nafsu sesetengah politikus dan menyelesaikan pertelagahan mereka tanpa menghiraukan tekanan dihadapi rakyat,” katanya.

Pautan berita;
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/07/982483/pru-15-peluang-ismail-sabri-lakar-landskap-politik-norma-baharu

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button