Berita Utama

Tubuhkan RCI tangani isu 1.2 juta warga China ‘hilang’

Bimbang jenayah meningkat, pemalsuan MyKad berleluasa

BANGI, 5 Muharram 1444H, Rabu – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) wajar ditubuhkan bagi menyiasat isu 1.2 juta warga China yang tidak keluar selepas tiba ke negara ini dalam tempoh tiga tahun lalu.

Tindakan ini bagi memastikan siasatan dilakukan dengan lebih terbuka dan bebas, kata Pesuruhjaya PAS Kedah,Datuk Ustaz Ahmad Yahaya.

“Situasi ini sangat membimbangkan dan lebih merunsingkan laporan Ketua Audit Negara 2018 mendedahkan lebih 100,000 pelancong China dan India tiada rekod keluar atau 95 peratus daripada jumlah yang datang.

“Siasatan juga wajar mendedahkan kewujudan unsur jenayah rasuah dan salah laku sepanjang proses kemasukan ke Malaysia jika ada.

“Isu pelancong ‘hilang’ ini terus berlarutan saban tahun dan akan berkait dengan peningkatan jenayah dalam negara melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) selain sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan MyKad,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

KDN memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang.

Namun, jumlah warga China yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765, iaitu kurang 1,222,278 orang berbanding jumlah yang masuk.

Mengulas lanjut, Ahmad menjelaskan perkara berkenaan pernah didedahkan sebelum ini sehingga membawa kepada penangkapan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang pada tahun 2019.

“Sindiket tersebut diikuti dengan pendedahan seorang ahli perniagaan China yang mengaku membeli MyKad dengan harga yang lumayan mencecah RM400,000, selain pihak berkuasa turut berjaya memberkas lebih 600 warga China di Cyberjaya kerana terbabit dengan penggodam.

Lebih membimbangkan apabila kelompok yang menerima MyKad palsu ini mendapat keistimewaan sebagai warganegara, selain turut diberikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya.

Justeru beliau menggesa langkah lebih proaktif dilakukan segera bagi mengatasi isu ini memerlukan kehendak politik yang kuat daripada kerajaan Persekutuan.

Katanya kesemua yang berlaku kini merupakan rantaian isu yang berlaku dan pernah dilaporkan tahun-tahun sebelumnya.

Pautan berkaitan:

1.2 juta warga China ‘hilang dari radar’, mana imigresen?

1.2 juta warga China ‘hilang dari radar’, mana imigresen?

1.2 juta warga China ‘hilang dari radar’, mana imigresen?

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button