GTA mahu bina semula negara demi kelangsungan Melayu: BERJASA
Apa makna jadi majoriti sedangkan kita hilang kuasa dan tanah

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 6 Muharram 1444H, Khamis – Penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) merupakan isyarat kepada rakyat bagi menggantikan UMNO yang telah tersasar jauh daripada landasan perjuangan sebenar.
Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, GTA yang terdiri daripada empat parti bersedia untuk mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan daripada sebarang ancaman dan tindakan yang menghakis kuasa bangsa di tanah air ini.
“Satu gerakan tersusun akan dilaksanakan untuk menyedarkan rakyat bahawa pemimpin parti sedia ada hari ini langsung tidak memikirkan tentang kehilangan tanah rizab Melayu yang semakin terhakis dan tidak pula diganti mengikut nilai serta sifat-sifatnya.
“Apa makna kita sebagai orang Melayu berbangga dengan jumlah yang ramai dan majoriti tetapi hakikatnya kita semakin hilang kuasa dan tanah.
“Kuasa Mahkamah Syariah pula masih tidak diangkat dan akibatnya semua keputusan Mahkamah Syariah masih boleh dipertikaikan oleh pihak yang berkepentingan sehingga mencabar Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelancaran GTA dan masa depan gagasan politik baharu itu sama ada mampu menjamin masa depan rakyat di negara ini.
Petang tadi, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi mengumumkan penubuhan GTA yang disertai empat parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan BERJASA.
Dr Mahathir menegaskan, gagasan itu akan memfokus untuk bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan kerusi yang ditandingi UMNO khususnya di Semenanjung Malaysia.
Mengulas lanjut, Ustaz Zamani menyeru masyarakat menyedari kedudukan Melayu kini berada dalam keadaan kritikal dan UMNO tidak lagi mampu membela nasib rakyat.
Justeru, katanya, sudah sampai masa rakyat memberikan keyakinan kepada GTA untuk membina semula negara demi kelangsungan kuasa orang Melayu.
Tegas beliau, sebagai tuan tanah, hak orang Melayu akan dijaga dan Islam sebagai agama Persekutuan terus terpelihara.
Pautan berkaitan: