Berita Utama

Agihan PerantiSiswa fasa 1 dijangka hujung Ogos

Penerima terdiri dari mahasiswa kelompok keluarga B40

BANGI, 6 Muharram 1444H, Khamis – Pengagihan PerantiSiswa kepada mahasiswa yang layak di bawah Fasa 1 dijangka akan bermula pada penghujung bulan ini atau September depan.

Sementara, pengagihan peranti di bawa Fasa 2 pula dijangka dapat dibuat pada Oktober atau November 2022, memandangkan permohonan sedang dibuka mulai 1 Ogos hingga 30 September.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, penerima PerantiSiswa bagi Fasa 1 terdiri daripada mahasiswa kelompok keluarga B40 dengan pendapatan bulanan isi rumah sebanyak RM4,850 ke bawah.

Katanya, penerima juga adalah sedang mengikuti pengajian sepenuh masa di peringkat Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam, IPTS, Kolej Komuniti dan Politeknik di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Data permohonan bagi penerima yang layak dibuat berdasarkan semakan silang dengan data penerima Bantuan Keluarga Malaysia di bawah Kementerian Kewangan dan juga berdasarkan semakan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) KPT.

“Selain itu, pemohon juga merupakan mahasiswa yang tidak pernah menerima apa-apa bantuan peranti daripada pihak kerajaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi penerima PerantiSiswa Fasa 2, Annuar berkata, permohonan turut diperluaskan kepada pelajar Asasi di bawah KPT, pelajar Matrikulasi, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Vokasional dan tingkatan enam di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, ini termasuk juga kepada pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang mengikuti pengajian di bawah peringkat yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa mahasiswa yang layak akan menerima peranti Samsung Galaxy Tab A8 LTE dengan spesifikasi yang boleh dirujuk melalui pautan http://perantisiswa.kkmm.gov.my.

“Bagi tujuan pertimbangan rayuan, peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) akan diperkasakan untuk turut sama dilibatkan.

“Satu sesi pertemuan antara saya dengan MPP dijadual akan diadakan pada 15 Ogos 2022 bagi memperluaskan peranan mereka dalam PerantiSiswa seterusnya memastikan setiap mahasiswa yang layak tidak tercicir daripada menerima manfaat PerantiSiswa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button