Berita Utama

Bantahan jual arak di kedai serbaneka Sepang disambut Alhamdulillah!

Pengurus kedai serbaneka nyatakan rasa syukur, sokong bantahan

BANGI, 6 Muharram 1444H, Khamis – Alhamdulillah!

Demikian reaksi Pengurus Speedmart 99 Salak Perdana dikenali sebagai Muhamad Syadid selepas Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyerahkan surat bantahan penjualan minuman keras di premis berkenaan.

Usaha tidak kenal penat di bawah kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ itu digerakkan oleh ISMA Sepang diketuai Ustaz Ibrahim Mohd Hasan.

Muhamad Syadid menyatakan rasa kurang selesa menjalankan urusan jual beli minuman yang diharamkan Islam itu di kawasan majoriti orang Melayu.

“Saya dah lama tunggu orang datang buat bantahan. Yelah, sini kawasan orang Islam. Alhamdulillah malam ini sampai jugak.

“Saya memang rasa tak sedap hati ada arak kat kedai ni tapi terpaksa bang. Jualan pun tak banyak dalam tiga tin je sebulan,” katanya dalam hantaran di Facebook ISMA Sepang, hari ini.

Kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ anjuran bersama ISMA dan Yayasan Maghfirah tidak hanya menyasarkan golongan muslim, tetapi juga setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Ianya turut mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Alliance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button