Berita Utama

Gagasan baharu Tun M hanya untungkan PH, DAP

'Dr Mahathir lupa dialah pemecah perpaduan orang Melayu'

BANGI, 6 Muharram 1444H, Khamis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mendakwa tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan gagasan parti politik Melayu baharu hanya menguntungkan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Ini kerana, dakwanya, bekas Perdana Menteri itu tahu sukar untuk beliau memenangi kerusi dalam pilihan raya, maka Dr Mahathir hanya boleh memecah undi Melayu.

Isham mendakwa, jika Dr Mahathir berjaya memecah undi Melayu, maka PH dan DAP yang akan menang serta untung dengan tindakan itu.

“Mungkin ini rancangan sebenar dia, sebab ramai kroni-kroni dan taikun-taikun yang sokong dia juga sokong PH dan DAP.

“Mahathir dan kroni-kroni dan taikun-taikun ini tidak kisah akan kesusahan rakyat atau orang-orang Melayu.

“Sebab itu dulu semasa dia (Mahathir) kaya dan bila rakyat susah dia suruh rakyat ikat perut dan jangan harap bantuan kerajaan,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir dijangka melancarkan gagasan baharu berteraskan agenda Melayu dan Islam di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya petang ini.

Penubuhan gagasan itu dilihat sebagai salah satu strategi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersama Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti BERJASA dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dr Mahathir sebelum ini menyifatkan penubuhan gagasan itu sebagai usaha menyatupadukan semula kaum Melayu untuk berjuang mempertahankan Malaysia.

Mengulas perkara itu, Isham menganggap Dr Mahathir lupa bahawa selama ini beliau adalah punca perpecahan perpaduan orang Melayu di Malaysia.

Katanya, pergaduhan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 30 tahun lalu menyebabkan orang Melayu berpecah dan tubuhnya PKR, dan kemudian dengan Tun Dr Abdullah Ahmad Badawi hampir 15 tahun juga melemahkan orang Melayu hingga hilang dua pertiga kerusi di Parlimen.

“Dia bergaduh dengan Najib dengan tujuh tahun lepas lalu berpecah orang Melayu dan tertubuh PPBM lantas DAP dan PH memerintah negara.

“Dia bergaduh dengan Muhyiddin dua tahun lepas, lalu berpecah PPBM tertubuh Pejuang,” katanya.

Justeru katanya, siapa yang mengundi Dr Mahathir dan gagasan baharu itu bermakna mengundi kroni serta taikun, selain sanggup ikat perut demi menjaga orang kaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button