Berita Utama

GTA hanya lebarkan lagi perpecahan orang Melayu

Perbalahan akan jadi modal untuk serang antara satu sama lain

BANGI, 6 Muharram 1444H, Khamis – Penubuhan gabungan politik baharu, Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat berisiko untuk melebarkan lagi perpecahan dalam kalangan orang Melayu biar pun berteraskan agenda Bumiputera dan Islam.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan yang melahirkan kebimbangan itu berkata, perbalahan akan menjadi modal untuk menyerang antara satu sama lain.

“Malangnya lagi disuruh bersatu, makin besar jurang perpecahan, ada yang seronok bergaduh.

“Perbalahan itu menjadi modal untuk menyerang antara satu sama lain. Saling tuding menuding dan salah menyalah. Tak tahu bila nak selesai?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menegaskan, akan terus bersuara berhubung soal penyatuan Melayu walaupun pandangannya dipandang sinis.

“Saya memilih untuk terus bersuara dalam keberanian yang masih berbaki, agar ada sinar untuk masa depan umat Islam di negara ini mendominasi penguasaan politik dan ekonomi negara.

“Selebihnya saya pulangkan kepada kebijaksanaan pemimpin parti-parti politik umat Islam, berbaloikah pertelagahan yang mengenyangkan ‘ayam’ ini? Atau ayam itu tak kenyang-kenyang?,” soalnya.

Justeru, beliau menasihatkan supaya semua pihak bersatu dengan mengenepikan ego dan membuang dendam masing-masing selain mencampakkan kebencian yang membuak-buak sesama umat Islam.

Petang tadi, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA yang disertai empat parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Dr Mahathir berkata, gerakan itu akan memfokus untuk bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan kerusi yang ditandingi UMNO khususnya di Semenanjung Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button