Berita Utama

GTA tanding 120 kerusi Parlimen pada PRU15

Beri tumpuan kerusi majoriti Melayu dan ditandingi UMNO

BANGI, 6 Muharram 1444H, Khamis – Gerakan Tanah Air (GTA) dijangka bertanding di 120 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gerakan itu akan bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan yang ditandingi UMNO khususnya di Semenanjung Malaysia.

“GTA disertai empat parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta turut mendapat sokongan ahli akademik dan profesional Melayu Islam.

“GTA bukan bersifat perkauman sebaliknya untuk memberi tumpuan melawan sebuah parti Melayu yang sudah menyeleweng ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Dr Mahathir berkata, GTA turut mendapat sokongan kepimpinan Melayu dari kumpulan masyarakat sivil, intelektual, tokoh masyarakat, pendidik, agamawan, wanita, profesional, ahli perniagaan dan generasi baharu yang komited merubah masa depan orang Melayu.

Malah, katanya, gagasan itu juga menerima sokongan rakyat terutama orang Melayu yang menolak rasuah serta penyelewengan.

Beliau pada masa sama menegaskan, GTA yakin untuk memenangi PRU15 sekiranya 65 peratus pengundi yang tidak menyokong kerajaan memihak kepada mereka.

GTA dilancarkan secara rasmi dengan disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button