Berita Utama

Hati-hati scammer dapat baca SMS OTP melalui aplikasi, kata timbalan menteri

Jangan kongsi maklumat peribadi, perbankan kepada pemanggil

KUALA LUMPUR, 6 Muharam 1444H, Khamis – Rakyat Malaysia dinasihat berhati-hati dan mengelak daripada menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan atau pembersihan rumah yang memerlukan pelanggan memuat turun aplikasi pihak ketiga di bawah Kit Pakej Android (APK).

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa (Perikatan Nasional-Sipitang) berkata, aplikasi APK itu membolehkan penipu atau ‘scammer’ membaca SMS mangsa yang mengandungi kata laluan sekali guna (OTP), yang biasa digunakan untuk memudahkan transaksi kewangan.

“Isu kehilangan wang dalam akaun tanpa pengetahuan atau kebenaran pelanggan adalah disebabkan terutamanya oleh kaedah yang digunakan sindiket penipuan kewangan yang mendorong pelanggan menyerahkan maklumat perbankan mereka sama ada secara sedar atau tidak.

“Sebagai contoh, tawaran perkhidmatan pembersihan rumah atau penghantaran makanan di mana sindiket penipuan kewangan mengarahkan mangsa memuat turun fail aplikasi APK yang boleh membaca SMS tanpa pengetahuan mangsa, berserta skrin pembayaran palsu atau pemindahan wang.

“Ada kalanya sindiket ini juga menyamar sebagai pihak berkuasa atau bank untuk mengeluarkan maklumat perbankan daripada mangsa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Yamani seperti dilapor NST mengingatkan orang ramai supaya mengambil pendekatan praktikal apabila berhadapan dengan kemungkinan ditipu.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak panik apabila menghadapi situasi sedemikian dan jangan sekali-kali mengikut arahan pemanggil yang tidak diketahui identitinya.

“Ini termasuk tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi penting dengan mereka,” tegasnya.

Beliau juga memberi amaran kepada rakyat Malaysia agar tidak menghubungi nombor yang meragukan atas sebarang sebab dan sentiasa berwaspada apabila berurusan dengan seseorang yang meminta maklumat kewangan peribadi.

“Jangan muat turun aplikasi pihak ketiga menggunakan fail APK kerana aplikasi itu boleh mengakses maklumat peribadi pada telefon mangsa,” katanya.

Yamani menjawab soalan Steven Choong (Parti Bangsa Malaysia-Tebrau) yang bertanyakan tentang sebab penyimpan bank tertentu menjadi mangsa penipu di mana OTP mereka diminta tanpa kebenaran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button