Berita Utama

JPA nafi dakwaan, syor imigresen lakukan siasatan

Kononnya KPPA keluar kata-kata kesat terhadap seorang pegawai imigresen

KUALA LUMPUR, 6 Muharam 1444H, Khamis – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyangkal dakwaan kononnya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam (3 Ogos).

Memandang serius dakwaan berkaitan, JPA mengesyorkan supaya perkara itu disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

JPA dalam satu kenyataan hari ini menegaskan segala pertuduhan terhadap KPPA adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tertinggi kerajaan.

Menurut kenyataan itu, KPPA telah menegur pihak Imigresen di KLIA berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur di mana pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara, dan sebaliknya mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.

“JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi undang-undang. Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan Imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” menurut kenyataan itu.

JPA turut menafikan teguran berkenaan dibuat di khalayak ramai.

“KPPA hanya menasihatkan pegawai supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah. Beliau juga mengesyorkan supaya perlunya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan imigresen,” menurut kenyataan itu.

Tular di media sosial sejak semalam, dakwaan seorang pegawai yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen di KLIA dimarahi di khalayak ramai kerana tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP sewaktu ketibaan pegawai tinggi kerajaan itu di bilik berkenaan.

Susulan dakwaan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengarahkan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan berhubung perkara itu bagi mendapat maklumat lebih jelas tentang kejadian yang sebenar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button