Berita Utama

Kadar tambang feri ke Langkawi pada harga baharu berkuat kuasa esok

Penduduk pulau masih kekal tambang asal bagi kedua-dua laluan

ALOR SETAR, 6 Muharram 1444H, KhamisKonsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd gabungan daripada tujuh syarikat feri penumpang terbesar di negara ini mengumumkan kenaikan kadar tambang baharu bagi laluan feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa esok.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi konsortium itu Kapten Dr Baharin Baharom berkata, kadar tambang baharu laluan Langkawi-Kuala Perlis dan Kuala Perlis-Langkawi bagi golongan dewasa dan kanak-kanak warganegara meningkat sebanyak RM3 iaitu masing-masing akan berharga RM21 dan RM16.

“Harga tambang baharu bagi dewasa bukan warganegara pula ialah RM27 iaitu meningkat sebanyak RM9 manakala tambang kanak-kanak bukan warganegara pula RM19.50 berbanding RM13 kadar tambang asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharin berkata, kadar tambang baharu bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Kedah-Langkawi pula adalah RM26.50 bagi golongan dewasa warganegara berbanding RM23 sebelum ini manakala RM20.50 bagi kanak-kanak warganegara iaitu meningkat sebanyak RM3.50.

“Tambang baharu bagi dewasa bukan warganegara pula adalah RM34.50 berbanding RM23 harga asal manakala tambang kanak-kanak bukan warganegara pula ialah RM25.50 iaitu meningkat sebanyak RM8.50 daripada kadar tambang asal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar tambang bagi dewasa, kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang merupakan penduduk pulau itu kekal bagi kedua-dua laluan feri berkenaan.

Ketika ini kadar tambang penduduk dewasa dan kanak-kanak dari Langkawi-Kuala Perlis dan Kuala Perlis-Langkawi adalah RM15 dan RM10 manakala RM10 dan RM13 bagi golongan OKU dan warga emas.

Harga tambang dewasa dan kanak-kanak dari Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Kedah-Langkawi pula pada kadar RM20 dan RM14 manakala OKU dan warga emas masing-masing RM14 dan RM17. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button