Berita Utama

Oktoberfest penghinaan kepada negara Islam: Mufti Pahang

Jangan guna kebebasan sebagai tiket laku perkara berbeza norma masyarakat

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 6 Muharram 1444H, Khamis – Cubaan menormalisasikan pesta minum arak, Oktoberfest dilihat sebagai penghinaan kepada Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, sudah menjadi kewajipan kepada masyarakat bukan Islam menunjukkan rasa hormat kepada penduduk muslim dengan tidak mengambil minuman keras secara terbuka.

“Walaupun kita sebagai negara Islam namun tidak pernah menghalang golongan berkenaan minum arak, tetapi mereka tidak boleh minum kepada tatapan umum.

“Mereka hanya boleh meminum arak tetapi sesama mereka dalam majlis tertutup sahaja tanpa mengganggu ketenteraman awam dan bukannya pesta.

“Menjadi kewajipan kepada mereka untuk menghormati masyarakat di negara ini yang majoriti Islam dan Melayu dengan tidak mengambil secara terbuka dan dilakukan secara besar-besaran,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Abdul Rahman menjelaskan, pengambilan alkohol langsung tidak membawa kebaikan malah boleh menjejaskan kesihatan.

Lebih dahsyat lagi, katanya, perbuatan itu adalah pintu kepada segala kejahatan.

“Arak ini tiada pilihan walaupun digunakan untuk berubat, pengambilan adalah berdosa dan hukumannya adalah pelaksanaan hudud bagi umat Islam.

“Bukan itu sahaja orang Islam juga tidak boleh duduk bersama dengan individu yang mengambil arak, itulah besarnya implikasi terhadap pengambilan arak tetapi bagi bukan Islam kita tidak melarang sebaliknya perlu menghormati masyarakat Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, orang bukan Islam seharusnya tahu peranan mereka ketika hidup bermasyarakat di negara ini.

Bagaimanapun tegasnya, kebebasan berkenaan tidak boleh dijadikan peluang dan cubaan untuk melakukan perkara yang berbeza dengan norma masyarakat di negara ini.

“Sepatutnya mereka menghormati dan bukannya menunjukkan budaya dan perbuatan yang tidak baik kepada orang Islam,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpiri Shah Raja Puri mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad supaya tidak campur tangan dalam acara kebudayaan orang bukan Islam di negara ini.

Malah, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang juga mempersoalkan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan penganjuran Oktoberfest yang disifatkan mencabuli prinsip Perlembagaan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button