Berita Utama

Pengembara tak perlu jalani saringan COVID-19, kuarantin

Selaras pemansuhan isi kad pengembara dalam aplikasi MySejahtera

BANGI, 6 Muharram 1444H, Khamis – Semua pengembara warganegara dan bukan warganegara yang memasuki Malaysia tidak perlu lagi menjalani ujian saringan prapelepasan, saringan COVID-19 sewaktu ketibaan dan perintah kuarantin.

Ini selaras dengan pemansuhan keperluan untuk mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Kad Pengembara dalam aplikasi MySejahtera kepada semua pengembara warganegara dan bukan warganegara tanpa mengira status vaksinasi seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keperluan vaksinasi bagaimanapun masih tertakluk kepada ketetapan syarikat penerbangan.

“Pemansuhan ini juga bermaksud tiada lagi keperluan untuk menjalani ujian saringan prapelepasan, ujian saringan COVID-19 sewaktu ketibaan dan perintah kuarantin.

“Bagaimanapun, aktiviti pemantauan gejala dalam kalangan pengembara di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) Malaysia masih akan diteruskan dan dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika ketibaan di PMA, sekiranya pengembara dikesan mengalami demam melalui pengimbas suhu atau didapati tidak sihat melalui rujukan kendiri, mereka akan dirujuk untuk pemeriksaan semula oleh pihak kesihatan.

Selepas penilaian kesihatan dibuat dan sekiranya disyaki menghidap penyakit berjangkit seperti COVID-19, monkeypox, MERS-CoV atau lain-lain penyakit berkaitan, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut, katanya.

“Sehubungan itu, semua pengembara yang baru tiba dari luar negara hendaklah mengamalkan pemantauan status kesihatan kendiri, mematuhi SOP ditetapkan dan dinasihatkan untuk pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan sekiranya didapati tidak sihat.

“Jika terdapat sebarang permasalahan, sila rujuk laman sesawang MySejahtera http://mysejahtera.moh.gov.my/ms/ atau hubungi meja bantuan interaktif kami,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button