Berita Utama

Segera usir 1.2 juta warga China dari Malaysia, gesa mereka serah diri

‘Itu baru warga China, jumlah warga negara lain yang ‘hilang’ belum terbongkar’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 6 Muharam 1444H, Khamis – Dengan terbongkarnya maklumat bahawa lebih 1.2 juta warga China masih berada di Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021, ia menimbulkan rasa kurang senang penduduk negara ini sekali gus menyebabkan kebimbangan.

Bahkan, penganalisis jenayah dan bekas Ketua Operasi Imigresen KLIA, Shahul Hamid berkata, keberadaan mereka di negara ini mencetuskan kemungkinan besar penglibatan dalam aktiviti jenayah terutama kes penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

“Rakyat kurang senang dengan perkara ini kerana jumlah yang ‘hilang’ terlalu tinggi. Itu baru China, kita tak tahu lagi jumlah warga dari negara lain yang belum dibongkar.

“Jadi kebanyakan mereka pula menjalankan operasi perjudian atas talian dan menjadi ‘scammer’. Banyak tangkapan juga dilakukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini sudah tentu boleh mengancam keselamatan dan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau yang juga Presiden Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia menggesa pihak berkuasa untuk segera membanteras kes ‘kehilangan’ berkenaan dan mengusir keluar mereka yang duduk secara haram di negara ini.

Sementara itu, mengulas kewajaran penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara ini, beliau berpandangan ia tidak diperlukan dan cukup dengan tindakan tegas pihak berwajib.

“Tak perlu buat RCI kerana apa yang berlaku ini memerlukan tindakan tegas pihak sepatutnya. Berkemungkinan juga sebelum ini dalam keadaan pandemik COVID-19 mereka mengambil kesempatan tak nak keluar dari Malaysia. 

“Jadi mereka sekarang ini perlu digesa untuk serah diri, dan meninggalkan negara ini,” katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ustaz Ahmad Yahaya mengesyorkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat isu 1.2 juta warga China yang tidak keluar selepas tiba ke negara ini dalam tempoh tiga tahun lalu.

Katanya, tindakan ini bagi memastikan siasatan dilakukan dengan lebih terbuka dan bebas.

Pautan berkaitan:

Tubuhkan RCI tangani isu 1.2 juta warga China ‘hilang’

1.2 juta warga China ‘hilang dari radar’, mana imigresen?

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button