Singapura sudah rekod kes ke-13 cacar monyet
Dua kes direkod minggu ini tiada sejarah perjalanan luar negara

SINGAPURA, 6 Muharram 1444H, Khamis – Negara jiran, Singapura melaporkan satu lagi kes jangkitan cacar monyet pada Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan sejak Jun mencecah 13.
Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa kes terbaharu membabitkan seorang lelaki berusia 33 tahun tanpa sejarah perjalanan ke luar negara.
Lelaki itu disahkan positif virus pada Selasa dan jangkitannya diklasifikasikan sebagai kes tempatan yang tidak berkaitan.
Satu lagi kes tempatan yang tidak dikaitkan turut disahkan pada Isnin lalu, membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun tanpa sejarah perjalanan.
Daripada 13 kes cacar monyet yang diumumkan di Singapura sejak Jun tahun ini, lima daripadanya adalah import dan lapan kes tempatan.
Setakat ini, tiada satu pun kes mempunyai kaitan.
Wabak cacar monyet adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus, dan biasanya boleh sembuh sendiri.
Bagaimanapun, komplikasi serius atau kematian boleh berlaku pada sesetengah individu. – Agensi