Dunia

Sri Lanka umum dasar ekonomi untuk 25 tahun akan datang

Rancang cipta lebihan dalam belanjawan utama menjelang 2025

COLOMBO, 6 Muharram 1444H, Khamis – Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe mengumumkan dasar negara untuk membina semula ekonomi muflis menjelang 2048.

Langkah itu menjadi cabaran hebat kepada jutaan rakyat negara ini ketika Sri Lanka berdepan inflasi dan kekurangan keperluan makanan.

Wickremesinghe, 73, mengumumkan rancangan itu dalam kenyataan dasar pertamanya sejak memegang jawatan presiden bulan lalu, selepas penyandang terdahulu, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dan meletak jawatan ekoran protes besar-besaran terhadap kemerosotan ekonomi.

Negara Asia Selatan itu muflis dan pada April menggantung pembayaran balik pinjaman asingnya yang berjumlah AS$51 bilion, ketika kadar inflasi terus meningkat.

Ketika mengumumkan dasar ekonomi Kabinetnya, Wickremesinghe berkata, Sri Lanka sedang menghadapi situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan dalam ‘bahaya besar’.

“Kita telah meneliti keadaan ini secara mendalam. Sebagai penawar, kita sedang menyediakan dasar ekonomi negara untuk 25 tahun akan datang.

“Jika kita membina negara dan ekonomi melalui dasar ini, kita akan mampu menjadi sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2048, apabila menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-100,” katanya di Parlimen.

Katanya, dasar itu meletakkan asas kepada sistem ekonomi pasaran sosial, menjamin pembangunan untuk golongan miskin dan kurang berkemampuan serta menggalakkan usahawan kecil dan sederhana.

“Matlamat kami adalah untuk mencipta lebihan dalam belanjawan utama menjelang 2025. Usaha kami adalah untuk meningkat kadar pertumbuhan ekonomi ke tahap yang stabil bagi mewujudkan asas ekonomi yang kukuh menjelang tahun 2026.

“Pada masa ini, hutang awam adalah 140 peratus daripada keluaran dalam negara kasar. Rancangan kami adalah untuk menurunkannya kepada kurang daripada 100 peratus menjelang 2032,” katanya.

Bagaimanapun, dasar itu tidak menumpukan kepada bantuan segera kepada 22 juta rakyat yang membantah pemotongan bekalan elektrik dan kekurangan komoditi asas seperti bahan api, makanan dan ubat-ubatan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button