Berita UtamaDunia

3 lagi kapal bawa bijirin berlepas dari Ukraine

Ikut perjanjian 16 lagi kapal bersedia untuk belayar

ANKARA, 7 Muharram 1444H, Jumaat – Tiga lagi kapal yang membawa bijirin akan belayar dari Ukraine mengikut perjanjian yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menarik balik sekatan Russia di Laut Hitam, kata Menteri Pertahanan Turki.

“Adalah dirancang bahawa tiga kapal akan berlayar (Jumaat) dari Ukraine,” lapor agensi berita negara Anadolu memetik Menteri Pertahanan, Hulusi Akar sebagai berkata, sehari selepas kapal pertama melepasi Istanbul dalam perjalanan ke Lubnan.

Ankara juga mengumumkan bahawa Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu membincangkan pelaksanaan perjanjian itu melalui telefon dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Moscow dan Kyiv bersetuju di Istanbul bulan lalu bagi menyambung semula penghantaran gandum dan bijirin lain dari pelabuhan Ukraine buat kali pertama sejak Russia menyerang jirannya pada Februari.

Kapal pertama, dimuatkan dengan 26,000 tan jagung, berlepas dari Odessa pada Isnin ke pelabuhan Lubnan di Tripoli.

Laluan kapal itu diawasi oleh pasukan antarabangsa termasuk pegawai dari Turki, PBB dan dua pihak yang bertelagah.

Pasukan itu dalam satu kenyataan berkata, laluan kapal pertama berjaya menawarkan ‘bukti konsep’ yang boleh dipegang oleh perjanjian itu.

Ukraine awal minggu ini berkata bahawa ia mempunyai 16 lagi kapal yang dimuatkan dengan bijirin dan bersedia untuk belayar.

Russia dan Ukraine adalah pembekal utama gandum dan bijirin lain.

Pemberhentian hampir semua penghantaran dari Ukraine telah menyebabkan harga makanan global melambung tinggi, menjadikan import sangat mahal untuk beberapa negara termiskin di dunia. – Agensi

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/08/03/kapal-bawa-26000-tan-jagung-dari-ukraine-tiba-di-selat-bosphorus/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button