Berita Utama

Bersatu kecewa PM batal mesyuarat saat akhir?

Ismail Sabri dituntut hormat PN sama seperti PH

KUALA LUMPUR, 7 Muharam 1444H, Jumaat – Mesyuarat yang sepatutnya diadakan semalam antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi membincangkan perjanjian antara kedua pihak, dibatalkan pada saat akhir.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mesyuarat itu sepatutnya berlangsung pada jam 2.30 petang Khamis (4 Ogos) tetapi dibatalkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Beliau menegaskan, Bersatu mahu Perdana Menteri menghormati PN sebagaimana beliau menghormati Pakatan Harapan (PH).

“Jika Ismail boleh mengotakan janji dan menghormati Pakatan Harapan, kenapa tidak berbuat demikian kepada PN sedangkan ia adalah blok terbesar yang menyokongnya menjadi Perdana Menteri.

“Bersatu menyokong Ismail kerana yakin beliau boleh menjadi Perdana Menteri yang mempunyai integriti. Tetapi, akhirnya sekarang (beliau dilihat cenderung) jilat golongan kleptokrat dalam UMNO. 

“Kita faham Ismail risau tak dapat watikah pencalonan daripada (Presiden UMNO) Ahmad Zahid Hamidi, tetapi jangan sampai jual diri begitu sekali,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Pembatalan saat akhir itu dipercayai menyebabkan kekecewaan dalam kepimpinan PN.

Sumber dari Bersatu berkata, pertemuan yang dibatalkan itu akan menjadi usaha terakhir untuk menekan Perdana Menteri berhubung memorandum perjanjian (MOA) antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Hamzah telah mengeluarkan kenyataan ringkas selepas mesyuarat, menyatakan kekecewaan terhadap kekurangan keazaman dan komitmen Perdana Menteri untuk memenuhi syarat perjanjian tersebut.

Pautan berkaitan:

Jawatan TPM, janji wajar ditunaikan

https://ismaweb.net/2022/07/09/wujud-perjanjian-jawatan-tpm-antara-pn-dan-pm/

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button