Berita Utama

Fungsi NGO untuk ‘check and balance’, bukan macai politik

‘Mungkin beliau lupa, kamilah yang gerakkan pelbagai inisiatif pengaruhi dasar-dasar negara’

BANGI, 7 Muharam 1444H, Jumaat – Pertubuhan gerakan sivil atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai fungsinya yang tersendiri dalam pembangunan negara iaitu sebagai ‘check and balance’, bukannya untuk menjadi ‘macai’ atau ‘alat’ sebagaimana ramai ahli politik fahami. 

Berikutan itu, kewajaran NGO untuk memberi kritikan serta saranan dalam membantu memacu negara ke arah yang lebih baik, tidak perlu lagi dipersoalkan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Malaysia (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, segala cadangan, teguran dan kritikan terhadap kerajaan bukanlah serangan politik. 

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada salah satu komen daripada seorang wakil rakyat di laman Facebook, yang seolah mempersoalkan kritikannya terhadap kerajaan.

Malah, individu itu turut mencadangkan agar Aminuddin ‘terjun’ sendiri dalam politik dan melakukan yang terbaik kerana kelak akan berjumpa permasalahan dan halangan sebenar.

Membidas kenyataan tersebut, Aminuddin berkata, pandangan itu sama sekali tidak betul kerana pihak PEMBELA dan rakan-rakan NGO lain sudah pun berada dalam gelanggang politik.

“Mungkin beliau tidak ingat, kamilah pertubuhan gerakan sivil yang menggerakkan pelbagai inisiatif yang mempengaruhi dasar-dasar negara seperti TPPA, Statut Rom, ICERD dan banyak lagi. 

“Malah, Himpunan 812 Bantah ICERD di Dataran Merdeka dulu pun saya jadi pengerusi penganjur dan dalam jawatankuasa itu dianggotai oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, ketika pemerintahan selama 22 bulan oleh Pakatan Harapan (PH), hampir setiap hari ada sahaja ahli politik dan wakil rakyat yang ingin berjumpa dengannya dan rakan-rakan NGO. 

“Terutamanya untuk bekerjasama, mendapatkan buah fikiran atau pendapat dalam isu-isu dasar pemerintahan PH yang banyak masalah mengenai Islam dan Melayu. 

“Ketika itu, ahli politik kita nampaknya memang faham belaka segala fungsi pertubuhan gerakan sivil sebagai ‘check and balance’ dari lapangan. 

“Maka, kalau ada orang nak kata saya hanya pandai kritik dan hanya main di tepi gelanggang, itu sangatlah tidak betul. Memang dah ada dalam gelanggang dah pun,” katanya.

Namun, Aminuddin berkata, apa yang mahu dan perlu dikritik olehnya kini adalah sikap ‘sahabat’ yang sudah naik menjadi pimpinan kerajaan setelah jatuhnya pemerintahan PH. 

“Jangankan untuk libatkan NGO dalam urus tadbir ataupun penentuan dasar-dasar negara, nak jumpa pun punyalah susah. Ada yang dah macam tak kenal kita dah. 

“Padahal, NGO-NGO Cina seperti Hua Zong nak jumpa punyalah senang. Siap diraikan lagi. 

“Mungkin benarlah kata-kata presiden sebuah parti Melayu Islam yang pernah saya jumpa; NGO hanyalah ‘daun kari’. Ketika memasak memang sangat diperlukan, bila nak melantak akan dibuang sahaja. Fikir-fikirkan,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button