Berita Utama

Islam tegah seleweng, monopoli barangan: Khutbah

Hak orang miskin dapat subsidi kerajaan dinafikan

BANGI, 7 Muharram 1444H, Jumaat – Islam menegah perbuatan menyeleweng dan memonopoli barangan (al-ihtikar) kerana mampu mengundang pelbagai perkara negatif serta perasaan ketidaktenteraman dalam masyarakat.

Apatah lagi, ajaran Islam sangat mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat dan tegas dalam hal penipuan serta penyelewengan.

Justeru, khutbah Jumaat hari ini menegaskan bahawa pengharaman ihtikar bertepatan kaedah fiqh dan penjagaan terhadap Maqasid al-Syariah iaitu menjaga harta.

“Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui peringatan yang diberikan oleh Allah SWT terhadap orang-orang yang menipu dan melakukan perkara khianat demi kepentingan diri sendiri.

“Akibat daripada penyelewengan dan penyeludupan ini, negara telah mengalami kerugian jutaan ringgit dan paling menyedihkan apabila hak orang miskin yang sepatutnya mendapat subsidi dari kerajaan telah dinafikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” kata khutbah.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu berkata, Islam sangat menitikberatkan soal keadilan dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, pengkhianatan, penipuan dan penyelewengan dalam perniagaan yang boleh menzalimi serta merugikan pihak lain.

“Imam al-Kasani berpendapat bahawa pengharaman ihtikar dilihat dari sudut kemudaratan yang boleh berlaku kepada masyarakat umum.

“Tambahan lagi, pengharaman ihtikar ini bertepatan dengan kaedah fiqh iaitu apabila berlaku konflik di antara kemudaratan umum dan khusus, maka kemudaratan umum perlu dielakkan dengan melakukan kemudaratan khusus,” katanya.

Sehubungan itu, khutbah mengingatkan pengguna supaya bijak dalam berbelanja dan menguruskan kewangan ketika menghadapi situasi inflasi ketika ini.

“Oleh itu, Islam sangat menuntut umatnya supaya berbelanja dengan berhemah dan berjimat cermat sebagaimana yang dituntut melalui firman Allah SWT melalui surah al-Furqan ayat 67.

“Dengan adanya satu pengurusan kewangan yang baik dan terancang, maka ia sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam mendepani cabaran suasana ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang meningkat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button