Jangan terpedaya SMS ‘GOV’ guna nama MySejahtera
Ada pihak manipulasi ID penghantar bagi tujuan penipuan

BANGI, 7 Muharram 1444H, Jumaat – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak terpedaya jika menerima SMS daripada ID penghantar ‘GOV’ menggunakan nama organisasi MySejahtera.
SKMM berkata, mesej berkenaan memberitahu pengguna bahawa bantuan khas kewangan telah dikreditkan ke akaun Touch N Go (TNG) eWallet mereka.
Suruhanjaya itu mendapati bahawa terdapat penyalahgunaan ID penghantar ‘GOV’ di mana pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasikannya untuk tujuan penipuan.
“Untuk makluman, hebahan SMS melalui ID penghantar ‘GOV’ dikhususkan bagi membuat Pesanan Khidmat Awam (PKA) berkenaan inisiatif-inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.
“Peringatan ini dikeluarkan sejajar dengan penafian oleh pihak MySejahtera berkenaan pesanan SMS palsu berkaitan pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai,” kata SKMM dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah menggesa orang ramai supaya berwaspada dengan taktik serta modus operandi penipuan.
SKMM berkata, tindakan sekatan telah diambil oleh pihaknya ke atas akses pautan palsu berkenaan.
“Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dan menyemak sebarang kandungan SMS yang disyaki palsu dengan cara menghubungi organisasi terlibat.
“Ini adalah bagi mengelak anda daripada menjadi mangsa kepada aktiviti berunsur penipuan,” katanya.
Suruhanjaya itu menegaskan, individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.