Berita Utama

Kastam rampas minuman keras bernilai RM1.56 juta di Pelabuhan Sepanggar

Kesemua kontena mengandungi 9,000 kotak minuman keras pelbagai jenama

KOTA KINABALU, 7 Muharam 1444H, Jumaat – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan menyeludup masuk tiga kontena mengandungi minuman keras bernilai lebih RM1.56 juta termasuk cukai di Pelabuhan Sepanggar, di sini, Jumaat lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Julaiman Soimin berkata kesemua kontena mengandungi 9,000 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai RM658,000 dan cukai berjumlah RM910,000 itu ditemukan dalam pemeriksaan pada 10.50 pagi.

Beliau berkata pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya memperoleh hasil imej imbasan yang meragukan terhadap kontena yang dipercayai dari luar negara itu.

“Modus operandi kes itu didapati mengikrar kontena tersebut sebagai barang dagangan lain bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di pelabuhan berkenaan hari ini.

Menurut Julaiman, tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Beliau menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat JKDM terdekat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button