Berita Utama

Pengusaha filem perlu berani hasilkan karya berunsur sejarah

Mat Kilau beri nafas baharu, buka mata pelbagai pihak

BANGI, 7 Muharram 1444H, Jumaat – Pengusaha filem tempatan wajar mengetengahkan sejumlah tokoh pejuang tanah air untuk ditonjolkan dalam bentuk filem bertemakan sejarah bagi menyemai semangat patriotik rakyat berbilang bangsa.

Dalam konteks ini, pengusaha filem negara juga sewajarnya melihat usaha dan keberanian pengarah filem Indonesia yang sering menghasilkan filem berunsur sejarah seperti ketokohan Sultan Agung melawan penjajah Belanda yang diarahkan Hanung Bramantyo pada 2018.

Malah, banyak lagi filem dari seberang yang menonjolkan tokoh negara, pejuang, kisah berlatar belakang sejarah yang merekodkan kkejayaan luar biasa dalam jualan tiket, kata Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Adnan Jusoh.

“Sehubungan itu, pengusaha filem tempatan wajar mengetengahkan sejumlah tokoh pejuang tanah air kita untuk ditonjolkan dalam bentuk filem bertemakan sejarah.

“Tidak dinafikan,  filem Melayu yang mengangkat tema berunsur sejarah dilihat kurang mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton,” katanya menulis di Berita Harian (BH), hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat naskhah filem sejarah yang mampu mengutip jualan tiket ‘box-office’ seperti Bukit Kepong arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin dan Leftenan Adnan oleh pengarah Aziz M Osman.

Bahkan, filem epik terkini Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof juga dilihat berjaya membuka mata pelbagai pihak mengenai kepentingan filem bertemakan sejarah untuk diberi nafas baharu.

“Isunya di sini ialah bukan jumlah kutipan sesebuah filem itu yang menjadi persoalan, tetapi keberanian pengarah dan penerbitnya mengangkat elemen sejarah sebagai tema filemnya.

“Tidak ramai pengarah atau penerbit berani untuk menongkah arus menghasilkan karya filem memandangkan tema menonjolkan biografi tokoh seperti Mat Kilau ini kurang popular,” katanya.

Apatah lagi, filem bertemakan sejarah memerlukan kajian mendalam supaya tidak berlaku kesilapan fakta atau menimbulkan isu kontroversi sehingga boleh menyinggung mana-mana pihak.

“Justeru, bagi memastikan fakta sejarah tidak meragukan ia perlu mendapatkan data sahih menerusi penyelidikan dengan merujuk pelbagai jenis dokumen, buku, artikel, kertas kerja, majalan dan pakar serta waris tokoh.

“Kaedah ini dapat memberikan data bersifat autentik bagi menghidupkan naratif sejarah yang bukan sahaja tepat, tetapi menarik bagi filem yang ingin dihasilkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button