Berita Utama

PERKASA Kedah sokong bantahan bina kuil di Damansara Damai

MBPJ digesa hormat perasaan penduduk setempat khususnya umat Islam

BANGI, 7 Muharam 1444H, Jumaat – Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Kedah menyokong bantahan penduduk Damansara Damai terhadap cadangan pembinaan kuil di kawasan itu.

Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan beberapa faktor membabitkan isu keselamatan dan juga sensitiviti penduduk majoriti di kawasan berkenaan.

Terdahulu, penduduk Damansara Damai berkata, tanah yang dicadangkan bagi membina kuil itu adalah bersebelahan tapak cadangan sekolah agama Islam milik Kementerian Pelajaran Malaysia, malah penduduk majoriti kawasan berkenaan bukanlah penganut Hindu.

Selain itu, bantahan dibuat kerana menurut penduduk, pengunjungnya kelak adalah orang yang datang dari luar kawasan tersebut yang tidak akan peka dengan penduduk sekitar.

Mengambil kira faktor itu, PERKASA Kedah menggesa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mempertimbangkan semula cadangan pembinaan kuil tersebut.

“PERKASA Kedah difahamkan sudah kali ke tiga bantahan dibuat dan memorandum telah pun diserahkan kepada MBPJ tentang kerisauan penduduk setempat di Damansara Damai.

“Pihak MBPJ harus bersifat tolak ansur dan profesional dalam meluluskan sesuatu projek pembinaan apatah lagi ianya melibatkan sensitiviti masyarakat setempat yang majoritinya adalah umat Islam,” katanya.

Sehubungan itu, PERKASA Kedah berharap agar MBPJ dapat menghormati perasaan penduduk Damansara Damai dengan membatalkan projek pembinaan kuil yang sedang diusahakan sekarang demi menjaga sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button