Berita Utama

Premis haram jual diesel bersubsidi disita

Kaut keuntungan mudah lebih RM2 seliter jual di pasaran gelap

MELAKA, 7 Muharam 1444H, Jumaat – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, hari ini menyita sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram membabitkan anggaran nilai rampasan lebih RM186,000.

Serbuan pada 2 petang semalam itu, diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap premis dipercayai dijadikan stor haram bagi penyimpanan diesel di Kawasan Perindustrian Krubong, di sini.

Dalam serbuan itu lima pekerja premis terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua warga asing berusia 20-an hingga 40-an ditahan ketika leka memindahkan diesel ke dalam tangki utama simpanan di stor berkenaan.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, terdahulu semua suspek bertempiaran cuba meloloskan diri melalui pintu khas di belakang kabin yang dijadikan tempat tinggal, namun gagal berikutan premis itu dikepung polis.

“Siasatan mendapati modus operandi digunakan adalah membuat isian antara RM300 hingga RM500 di stesen minyak sekitar Melaka dengan menggunakan lori satu atau tiga tan yang dipasang tangki khas berkapasiti 1,000 liter serta ditutup menggunakan kanvas.

“Tangki itu kemudian akan diisi diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap pada harga lebih RM4 seliter berbanding harga industri RM5.15 seliter dan mengaut keuntungan mudah lebih RM2 seliter,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Mengulas lanjut, Norena berkata, pekerja terbabit mendakwa premis baru beroperasi kira-kira tiga bulan, namun hasil pemantauan dan risikan sejak dua minggu lalu, premis itu disyaki aktif sejak enam bulan lalu malah turut mempunyai rumah pekerja yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pendingin hawa.

“KPDNHEP Melaka ingin beri amaran tegas kepada pihak industri agar tidak membeli diesel secara haram kerana kami tahu siapa mereka dan hanya menunggu masa untuk diserbu,” katanya.

Katanya lagi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun bagi kesalahan orang perseorangan.

Bagi syarikat atau pertubuhan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan pertama atau sehingga RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button