Berita Utama

Thailand lapor kes pertama cacar monyet babitkan wanita

Setakat ini Thailand telah melaporkan empat kes jangkitan

BANGKOK, 7 Muharam 1444H, Jumaat – Seorang wanita tempatan berusia 22 tahun disahkan positif cacar monyet, iaitu kes pertama membabitkan golongan wanita yang dilaporkan di Thailand.

Setakat ini, Thailand telah melaporkan empat kes jangkitan cacar monyet.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata wanita itu mengalami simptom seperti demam dan ruam di badan pada 29 Julai.

Wanita itu telah melawat pusat sukan di Bangkok sebelum disahkan positif wabak berkenaan.

“Pesakit telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Samut Prakan pada Rabu, dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura,” kata Dr Opas.

Beliau mengarahkan pihak berkuasa kesihatan untuk meningkatkan pengesanan kontak rapat.

Thailand melaporkan jangkitan cacar monyet pertama – seorang warga Nigeria berusia 27 tahun yang tiba di Phuket pada 18 Julai. Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri selepas dimaklumkan mengenai keputusan ujian awal terhadapnya positif.

Dia kemudiannya dijumpai di Phnom Penh dan menerima rawatan di sebuah hospital.

Pada 29 Julai, kes kedua cacar monyet membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun di Bangkok dan dia dilaporkan semakin pulih.

Pada 3 Ogos, seorang lelaki Jerman berusia 25 tahun yang melancong ke Phuket merupakan pesakit ketiga wabak cacar monyet di negara itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button