Berita UtamaDunia

Gaza berdarah: 10 terkorban termasuk pejuang kanan Palestin

Lebih 100 roket dilancarkan ke Tel Aviv sebagai serangan balas

GAZA, 8 Muharam 1444H, Sabtu – Sekurang-kurangnya 10 terbunuh termasuk lima kanak-kanak dan komander kumpulan pejuang Palestin, Tayseer al-Jaabari dalam serangan rejim negara haram Israel ke atas Gaza semalam.

Gerakan JIP, yang mempunyai ideologi sama seperti Hamas berkata, lebih 100 roket dilancarkan ke bandar negara haram berkenaan termasuk Tel Aviv sebagai maklum balas awal terhadap serangan udara.

Serangan berkenaan adalah kurang berbanding perang 11 hari, Mei tahun lalu antara Israel dan Hamas yang mengorbankan 250 penduduk di Gaza dan 13 penduduk negara haram.

Dalam satu kenyataan disiarkan televisyen Al Mayadeen, pemimpin Jihad Islam Palestin, Ziad Al-Nakhala, berikrar untuk terus melancarkan serangan balas.

“Tidak ada batas dalam pertempuran ini dan Tel Aviv akan tumbang di bawah roket penentangan, begitu juga dengan kesemua bandar Israel,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa Israel berkata, siren kedengaran di selatan dan tengah bandar tersebut manakala imej yang disiarkan di stesen televisyen menunjukkan beberapa peluru berpandu ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara negara haram tersebut.

Di Tel Aviv, saksi berkata, mereka mendengar bunyi letupan namun tiada siren kedengaran.

Terdahulu, pegawai kesihatan tempatan di Gaza berkata, 10 orang termasuk kanak-kanak berusia lima tahun terkorban manakala 55 yang lain cedera dalam serangan udara Israel.

Serangan itu menyusul beberapa hari selepas ketegangan kian memuncak berikutan penahanan pemimpin kanan JIP, Bassam al-Saadi, dalam serbuan di bandar Jenin, Tebing Barat, awal minggu ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button