BERJASA desak tubuh Suruhanjaya Diraja siasat projek kapal LCS
Bentang keputusan kepada umum, bawa pesalah ke muka pengadilan

BANGI, 8 Muharam 1444H, Sabtu – Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), menimbulkan tanda tanya sama ada wujud ketirisan dan kepincangan dalam satu kontrak kerajaan.
Terdahulu, laporan itu mendedahkan sehingga kini tiada satu pun kapal tempur yang telah disiapkan oleh syarikat kontraktor Bousted Naval Shipyard (BNS) yang diberikan secara rundingan terus itu di mana TLDM sepatutnya menerima lima buah kapal tempur pada Ogos tahun ini.
Laporan turut mendedahkan bahawa kerajaan juga didapati gagal mengesan kedudukan kewangan BNS yang kritikal sehingga terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.3 bilion yang mana jelas bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 5 Tahun 2007.
Pada masa sama, Kementerian Pertahanan dan BNS juga didapati mengabaikan pandangan TLDM selaku pengguna akhir dalam pelaksanaan projek LCS.
Memandang serius isu itu, parti BERJASA mendesak supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dengan segera.
Langkah itu penting bagi menyiasat secara telus, bebas dan adil isu berkenaan, kata Ketua Penerangannya, Hazwan Mohamad.
Katanya, keputusan siasatan haruslah dibentangkan kepada umum dan mereka yang didapati terbabit dalam salah laku ini perlu dibawa ke muka pengadilan segera mungkin.
“Kepincangan tadbir urus, tatakelola dan pengurusan yang tidak cekap ini amat mendukacitakan.
“Ini kerana melibatkan wang rakyat yang cukup besar lebih-lebih lagi di tatkala negara dan rakyat sedang berhempas pulas dengan kesempitan ekonomi ini,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net hari ini.
Sebelum ini, PAC mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (Littoral Combatant Ship – LCS) bernilai RM9 bilion.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, jawatankuasa itu membentangkan laporan LCS itu, selepas sembilan kali mengadakan prosiding bermula 18 November 2020 sehingga 8 Mac 2022.
Dalam prosiding itu, sembilan saksi dipanggil memberi keterangan, termasuk bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Pegawai Eksekutif Bousted Heavy Industries Corporation Berhad, Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf dan Pegawai Operasi BNS, Low Kok Chiang.
Hishammuddin adalah Menteri Pertahanan antara 16 Mei 2013-10 Mei 2018 yang mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (10 April 2009 – 15 Mei 2013).