GTA hanya pecah undi Melayu, lebih banyak pertembungan berlaku
Hayat gagasan tak bertahan lama, tumpang populariti Tun M

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 8 Muharam 1444H, Sabtu – Penubuhan gagasan baharu, Gerakan Tanah Air (GTA) bukan sekadar memecahkan undi Melayu tetapi implikasi lebih besar menyebabkan tiada parti yang mendapat majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Demikian pandangan penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain mengulas mengenai penubuhan GTA yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
GTA terdiri daripada empat parti tonggak iaitu BERJASA, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Prof Atory berkata, penubuhan GTA hanya membuatkan lebih banyak perpecahan dalam parti-parti Melayu.
“Ia menyebabkan lebih banyak pertembungan dan keadaan itu akan membuatkan pengundi terutama golongan muda lebih keliru.
“Sepatutnya ukhwah dieratkan lagi sesama parti Melayu, bukannya membuka peluang perpecahan. Yang mahu diselamatkan masa ini ialah kuasa Melayu daripada terus diragut parti-parti pembangkang yang lain.
“Keadaan ini menyebabkan lebih banyak persengketaan dan saling tuduh-menuduh demi menunjukkan kekuatan parti masing-masing,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau juga berpandangan, hayat gagasan baharu yang berteraskan Melayu dan Islam tidak akan bertahan lama dan hanya bersifat sementara sahaja.
Ini memandangkan ahli-ahli yang ada dalam gagasan berkenaan tidak mempunyai kekuatan sendiri, malah hanya menumpang populariti bekas perdana menteri itu sahaja.
“Jika dilihat dari sudut pengalaman pemimpin-pemimpin lain dalam gagasan tersebut ‘terlalu cetek’ berbanding figura Tun Mahathir yang masih mempunyai pengikut tersendiri.
“Keadaan berkenaan sekali gus memberi keyakinan muafakat baharu itu tidak akan tahan lama,” katanya.
GTA dijangka bertanding di 120 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) PRU15.
Gerakan itu akan bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan yang ditandingi UMNO khususnya di Semenanjung Malaysia.