Berita Utama

Malaysia gesa beri tekanan mendalam kepada negara haram Israel

Negara kutuk serangan udara Israel di Semenanjung Gaza

BANGI, 8 Muharam 1444H, Sabtu – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa orang awam termasuk kanak-kanak.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, tindakan terbabit jelas melanggari undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan sejagat.

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa segera memberikan tekanan mendalam kepada Israel untuk menghentikan serta merta pencerobohan dan keganasan ke atas rakyat Palestin.

“Masyarakat antarabangsa mesti terus mengecam Israel atas serangan provokasi yang mementingkan diri sendiri dan dasar apartheid terhadap hak asasi, kehidupan, mata pencarian serta maruah semua rakyat Palestin dari pelbagai agaman di tanah air mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan tidak boleh ada pendekatan berbeza dalam menangani sebarang konflik.

“Malaysia juga sentiasa menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi serta solidariti teguh bersama rakyat Palestin dalam mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israel,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sekurang-kurangnya 10 maut manakala 75 yang lain cedera dalam siri serangan udara Israel di Gaza.

Dilaporkan, seorang komander utama kumpulan Jihad Islam Palestin turut terkorban dalam serangan pada Jumaat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button