Berita Utama

Mengapa GTA ditakuti pembangkang?

GTA tak rasis, terbuka kepada semua lapisan Melayu

BANGI, 8 Muharam 1444H, Sabtu – Penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) cukup jelas motifnya iaitu satu gerakan massa yang memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu agenda mengangkat dan membela nasib orang Melayu, menyelamatkan negara dari politik mementingkan diri sendiri serta menubuhkan kerajaan bebas rasuah.

Peguam Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, buat masa ini, GTA terbuka kepada semua orang Melayu yang dahagakan perubahan untuk sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.

Katanya, tiada langsung sebarang syarat yang dikenakan oleh Pengerusi mahupun pendukung-pendukung GTA untuk menyertai gerakan ini.

“Ianya terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahukan Melayu berprinsip dan berkelayakan. Harus ditekankan juga GTA ini adalah satu gerakan rakyat. Ianya tidak rasis.

“Mengapakah setiap kali sesuatu pertubuhan, persatuan, parti berteras Melayu dimulakan ianya dilabelkan rasis? Mengapakah apabila bangsa atau kaum lain menubuhkan parti ianya dilabel ‘hak Perlembagaan’?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat perlu sedar bahawa mana-mana pihak yang mentadbir negara ini mesti melakukannya di dalam ruang lingkup sempadan Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, ‘Rule of Law’ akan memastikan hak bangsa, kaum dan agama setiap rakyat terbela dan terjaga.

“Seperkara yang harus diingati juga adalah GTA ini bersifat inklusif. Lihat sahaja pada senarai anggota jawatankuasanya. Parti-parti politik, pemimpin-pemimpin masyarakat, anggota-anggota profesional, golongan cerdik pandai, NGO-NGO dan individu-individu yang berpengaruh.

“Segala lapisan disantuni kerana harus diingat, Melayu bukan milik orang politik sahaja.

“GTA dilihat boleh membawa kepada perubahan. Inilah sebabnya ramai yang ‘menggelupur’ tiba-tiba kerana sedar rakyat kini mempunyai alternatif kepada parti-parti tradisional Melayu lain,” katanya.

Muhammad Rafique berkata, apabila GTA terbuka kepada semua lapisan Melayu, gerakan rakyat ini mesti dibawa ke tahap lebih tinggi iaitu pembentukan Melayu yang berwibawa.

Ini kerana katanya, bangsa Melayu yang berwibawa mampu menundukkan Melayu yang durjana.

“Jelas GTA ingin memperjuangkan prinsip-prinsip integriti, amanah dan melawan rasuah. Malah jelas juga GTA menyasarkan kawasan-kawasan majoriti Melayu.

“GTA juga jelas ingin menyatukan kekuatan orang Melayu dalam sosioekonomi dan pendidikan. Kembali menjadi Harimau Asia juga salah satu matlamat penubuhannya. Bukankah itu juga harapan parti-parti pembangkang?

“Justeru, mengapakah GTA ditakuti oleh pembangkang? Atau adakah pembangkang tiba-tiba sedar bahawa GTA sahaja mampu membawa perubahan menyeluruh, sesuatu yang tidak mungkin mampu dilakukan oleh pembangkang kini?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button