Berita Utama

Faham dulu alasan penghakiman sebelum ulas: Tengku Maimun

Serangan berbaur sentimen tidak adil pada badan kehakiman

BANGI, 13 Safar 1444H, Sabtu – Kebanyakan komen yang menyerang sistem kehakiman dibuat berdasarkan sentimen peribadi semata-mata tanpa memahami kes sebenar.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, sewajarnya masyarakat dan orang ramai memahami alasan penghakiman kes terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan ulasan.

“Komen dan serangan yang dibuat menunjukkan mereka tidak membaca alasan penghakiman serta tidak memahami undang-undang, sekali gus membawa kepada kenyataan yang tidak relevan.

“Pandangan peribadi saya, komen dibuat oleh orang yang tidak faham, yang menunjukkan kurang kefahaman mereka adalah kerana mereka tidak membaca alasan penghakiman.

“Apabila tidak baca, tidak faham. Bila tidak faham, akan membuat komen yang tidak sesuai dan relevan dengan isunya,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Institusi kehakiman kini mendapat serangan beberapa pihak susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

Mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kebanyakan yang membuat ulasan selepas keputusan mahkamah membabitkan Najib semuanya tanpa kefahaman tentang undang-undang.

Tengku Maimun menyifatkan serangan itu berbaur sentimen antikehakiman dan tidak adil kepada badan kehakiman negara.

Tegasnya, tindakan membuat kesimpulan dan kenyataan tanpa pemahaman adalah tidak adil dan hanya akan mencetuskan situasi yang huru-hara.

“Jika tidak faham, tanya. Jika sudah baca (alasan penghakiman) dan tidak faham, tanya pada individu yang tepat. Jangan begitu mudah membuat kesimpulan tanpa kefahaman penuh. Ini perkara asas.

“Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan terhadap isu yang kamu tidak faham. Ia akan menyebabkan huru-hara pada semua perkara.

“Jika tidak faham, tiada asas pengetahuan, tidak memahami sepenuhnya, tapi kamu buat kenyataan. Ini tidak betul,” katanya.

Justeru, Ketua Hakim Negara itu menyaran supaya masyarakat di negara ini memahami sesuatu isu atau membaca sendiri maklumat berhubung perundangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button