Berita Utama

GTA bukan bersifat kaum, tumpu lawan parti seleweng UMNO

Tun M ajak rakyat sokong jika sedar, curiga dengan masa depan

BANGI, 9 Muharram 1444H, Ahad – Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan Gerakan Tanah Air (GTA) bersifat perkauman atau mahu menyekat orang Melayu berusaha untuk mendapatkan kekayaan.

Sebaliknya, gagasan baharu yang ditubuhkan bersama parti-parti politik Melayu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan membentuk satu usaha menukar kerajaan serta menumpukan untuk melawan UMNO yang didakwanya sebagai parti Melayu menyeleweng.

Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, orang Melayu tidak akan menyokong sekiranya ia adalah sebuah parti bukan Melayu, maka atas sebab itu GTA – yang turut meliputi ahli akademik dan profesional – ditubuhkan untuk bersaing dengan UMNO.

“Dalam pilihan raya, kita sebagai Gerakan Tanah Air akan menentang UMNO dan kita harap mendapat sokongan daripada rakyat, bukan kerana mereka ahli parti sebaliknya sebagai orang Melayu yang sedar dan curiga dengan masa depan.

“Gerakan Tanah Air diadakan sebagai tempat orang Melayu tentukan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi dan bersama mendapat tempat mereka dalam negara berbilang kaum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas dasar itu, beliau menjelaskan bahawa GTA bukanlah bertujuan untuk merampas harta orang bukan Melayu, apatah lagi menyekat usaha mendapat kekayaan.

Bagaimanapun, katanya, GTA berusaha untuk memperbetulkan kedudukan orang Melayu supaya mereka juga akan mendapat bahagian di dalam negara ini.

“Kita jemput semua orang Melayu yang berasa curiga tentang masa depan mereka menyertai kita ataupun sekurang-kurangnya menyokong perjuangan kita dalam pilihan raya akan datang.

“PRU15 nanti kita akan bertanding sebagai satu gerakan dan akan letak calon-calon daripada parti politik, NGO, individu tertentu, golongan profesional dan akademik,” katanya.

GTA terdiri daripada empat parti tonggak iaitu BERJASA, Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Gerakan itu dijangka bertanding di 120 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15, di semua kerusi majoriti Melayu dan yang ditandingi UMNO, khususnya di Semenanjung Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button