Dunia

Israel agresif buat tangkapan besar-besaran di Tebing Barat

21 penduduk Palestin termasuk wanita di ditangkap semalam

RAMALLAH, 9 Muharram 1444H, Ahad – Tatkala ketegangan memuncak di Semenanjung Gaza, wilayah Tebing Barat diduduki terus berdepan tindakan agresif pihak berkuasa pendudukan Israel dalam kempen penangkapan besar-besaran, pada malam Sabtu. 

Di wilayah Bethlehem, tentera menyerbu kampung Hindaza dan menangkap lima rakyat Palestin selepas menggeledah serta menyerbu rumah mereka. 

Tiga lagi rakyat Palestin turut ditangkap oleh tentera Israel yang menahan kenderaan mereka di pusat pemeriksaan kontena di timur laut bandar Bethlehem. 

Di wilayah Hebron, tentera Israel menyerbu pelarian al-Fawwar dan menangkap empat rakyat Palesin selepas menyerbu serta menggeledah rumah mereka. 

Tentera Israel turut menyerbu kem pelarian Tulkarm dan kampung berhampiran Seida yang menyebabkan penahanan tiga lagi penduduk Palestin. 

Di wilayah Jenin, tentera Israel menyerbu kejiranan al-Marrah dan menahan seorang wanita dikenali sebagai Dina Nayef Jaradat, 22, selepas menyerbu rumah keluarganya di kawasan itu. 

Dua lagi penduduk Palestin turut ditangkap dalam serbuan tentera di bandar Kafr Ra’i dan kampung Anza.

Di wilayah Nablus, dua beradik – Udai dan Mohammad Rawwash – turut ditangkap oleh pasukan pendudukan Israel yang menyerbu rumah mereka di kem pelarian Askar al-Jadid. 

Sementara, seorang lagi pemuda Palestin ditahan oleh pasukan tentera Israel dalam serbuan di kampung Al-Hadidiya utara Lembah Jordan. 

Hampir setiap hari pasukan pendudukan Israel melakukan serbuan yang menyasarkan penduduk Palestin, di mana tindakan itu kebanyakannya dilakukan pada waktu malam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button