Berita Utama

Johor kekal SOP solat jarak setengah meter

Walau terdapat penularan COVID-19 di masjid baru-baru ini

JOHOR BAHRU, 10 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Johor akan terus mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dengan jarak satu setengah meter meskipun terdapat penularan COVID-19 di sebuah masjid, di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Tosrin Jarvanthi berkata kes yang melibatkan kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana tidak akan mengubah SOP itu yang baharu berkuat kuasa 7 Januari lepas.

“Setakat ini kami kekalkan jarak setengah meter di masjid walaupun ada kes di Pulai Perdana.

“Ia tidak berkait rapat dan tiada sebarang arahan daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (berhubung SOP solat). Jadi kami kekalkan jarak setengah meter,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Misi Bantuan Pascabanjir, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Tosrin berkata pihaknya juga sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung 47 kes positif yang dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana.

“Saya difahamkan kes di Pulai Perdana ini melibatkan jemaah (di Johor) yang baru balik menunaikan umrah. Justeru itu kami akan dapatkan maklumat terperinci daripada KKM,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button