Arab Saudi kutuk serangan Israel, gesa orang awam dilindungi
Tentera Israel beri amaran serangan udara mungkin berlanjutan seminggu

RIYADH, 9 Muharam 1444H, Ahad – Arab Saudi mengutuk dan mengecam serangan Israel yang dilakukan di Semenanjung Gaza, kata kenyataan Kementerian Luar Negeri, semalam.
Kenyataan itu mengatakan bahawa Arab Saudi menyokong rakyat Palestin, dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil segala usaha menamatkan peperangan antara kedua-dua pihak.
Ia turut menegaskan bahawa orang awam mesti dilindungi daripada keganasan.
Sementara itu, Mesir berkata ia sedang terlibat dalam perbincangan intensif untuk menenangkan keadaan.
Tentera pengganas Israel, semalam memberi amaran serangan udara ke atas pejuang Palestin di Gaza mungkin berlarutan sehingga seminggu.
Katanya, mereka terpaksa melancarkan operasi ‘pintas’ ke atas Jihad Islam, mendakwa kumpulan itu merancang serangan selepas beberapa hari ketegangan di sepanjang sempadan Gaza.
Serangan berterusan Israel disusuli bedilan roket bertubi-tubi dari Palestin, mencetuskan kebimbangan konflik 11 hari yang memusnahkan Gaza, pada Mei 2021, berulang. – Agensi