Dunia

Kesatuan Eropah seru ketegangan Gaza dihentikan

Hentikan provokasi demi elak angka korban daripada meningkat

BRUSSELS, Muharam 1444H, Ahad – Kesatuan Eropah (EU) pada Sabtu menggesa semua pihak agar mengelakkan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan kematian di Semenanjung Gaza.

“Kesatuan Eropah menyeru agar semua pihak menghentikan sebarang provokasi demi mengelakkan angka korban daripada meningkat, di Gaza dan kawasan sekitarnya,” lapor Agensi Anadolu memetik jurucakap utama perkhidmatan diplomatik blok itu, Peter Stano, dalam satu kenyataan.

Blok itu “mengikuti perkembangan situasi semasa dengan penuh kebimbangan” susulan ketegangan berterusan hingga “mengakibatkan kematian orang awam termasuk seorang kanak-kanak perempuan Palestin berusia lima tahun”, menurut kenyataan itu.

Stano mengakui hak Israel untuk melindungi penduduknya tetapi memberi amaran bahawa “konflik yang lebih serius” sehingga mengakibatkan lebih banyak nyawa terkorban dan penderitaan di kedua-dua pihak harus dielakkan, menurut Agensi Anadolu.

Beliau juga mengulangi gesaan EU untuk sesi dialog “bagi memulihkan halatuju politik dan memastikan situasi yang mampan” di rantau itu.

Sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin terbunuh manakala 215 lagi cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza sejak Jumaat.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang meningkat di seluruh wilayah Palestin sejak Isnin, apabila tentera Israel menahan seorang pemimpin kanan Jihad Islam, Bassam al-Saadi, dalam serbuan di bandar Jenin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button