Berita Utama

KPLB kenal pasti kampung berpotensi sebagai ‘Kampung Sejahtera’

Kriteria termasuk memiliki aktiviti ekonomi berimpak tinggi, modal insan berdaya maju

KUALA NERANG, 9 Muharram 1444H, Ahad – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mengenal pasti kampung-kampung di seluruh negara yang memenuhi kriteria ditetapkan kementerian itu untuk layak dipanggil sebagai ‘Kampung Sejahtera’.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata antara kriteria tersebut termasuk memiliki kemudahan infrastruktur yang baik, aktiviti ekonomi berimpak tinggi, modal insan berdaya maju dan tahap kesihatan yang baik.

“Sebab Kampung Sejahtera itu memang kita tengah ‘roll out’ sekarang ini, (kita) nak tengok berapa banyak kampung. Kita juga adakan pertandingan kampung (Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera).

“Tapi pada masa yang sama, kita juga minta data daripada pejabat daerah seluruh negara, berapa banyak sebenarnya kampung yang boleh dianggap sebagai Kampung Sejahtera,” katanya ketika ditemui pada Program Komuniti Sejahtera Bukit Tembaga di sini hari ini.

Beliau berkata KPLB tidak menetapkan sebarang sasaran jumlah kampung yang akan diangkat sebagai Kampung Sejahtera pada tahun ini, namun amat menyarankan semua jawatankuasa kampung menyertai pertandingan itu.

Menurutnya, sekiranya sesebuah kampung itu berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk diiktiraf sebagai Kampung Sejahtera, kementerian akan menyalurkan peruntukan pembangunan kepada kampung tersebut berdasarkan keperluan di kawasan itu.

“Kalau yang paling tinggi kita boleh bagi RM1 juta peruntukan pembangunan dalam kampung. Ada juga RM100,000, ada yang RM200,000 bergantung kepada keperluan. Contohnya, kalau jalan baik, elektrik ada, paip air ada, (tapi) mungkin surau tak begitu cantik (kita bagi peruntukan untuk surau).

“Tapi ketua kampung itu kena ada inovasi, ketua tu kena kreatif dan kita akan tolonglah. Tapi kalau empat tahun tak pernah buat gotong-royong, jadi macam mana nak bagi (peruntukan),” katanya.

Bulan lepas, Mahdzir dilaporkan berkata berdasarkan data sumber PlanMalaysia dan KPLB, ketika ini Malaysia mempunyai 28,303 kampung meliputi 19,447 kampung di Semenanjung Malaysia, 5,976 kampung di Sarawak, 2,853 kampung di Sabah dan 27 kampung di Labuan.

KPLB memperkenalkan Aspirasi Kampung Sejahtera bagi melonjak pembangunan kawasan luar bandar dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat kampung khususnya aspek ekonomi selain memastikan semua kampung mencapai aspirasi yang dirumus dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu wawasan Luar Bandar yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik menjelang 2030. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button