Dunia

Loji janakuasa tunggal Gaza ditutup akibat kekurangan bahan api

Gaza perlukan 500 megawatt untuk penuhi keperluan elektrik bandar

BANDAR GAZA, 9 Muharam 1444H, Ahad – Loji janakuasa tunggal Gaza akan ditutup pada Sabtu berikutan kekurangan bahan api, kata pihak berkuasa tenaga wilayah itu.

“Operasi loji itu akan dihentikan kerana ia tidak berupaya untuk mengimport bahan api,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu, Gaza memerlukan 500 megawatt untuk memenuhi keperluan elektrik bandar berkenaan.

“Hanya 120 megawatt tersedia di Gaza ketika ini yang diimport terus dari Israel,” katanya, sambil menambah bahawa perkhidmatan elektrik akan tersedia hanya selama empat jam.

Israel menutup lintasan Karam Abu Salem, satu-satunya laluan komersial Gaza, sebagai sebahagian daripada sekatan di tengah-tengah ketegangan dengan kumpulan Jihad Islam berikutan penahanan seorang ketua kumpulan kanan di Tebing Barat yang diduduki pada Isnin.

Pada Jumaat, pesawat perang Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza dengan mendakwa “ancaman serangan yang akan berlaku” oleh kumpulan Jihad Islam.

Sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh dan 80 yang lain cedera dalam serangan itu.

Menurut data dari agensi kemanusiaan PBB OCHA, 2.3 juta penduduk Gaza mengalami kekurangan bekalan elektrik biasa dan minggu lalu mereka hanya menerima purata 10 jam elektrik sehari. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button