Berita Utama

Pelajar tingkatan satu curi RM30 dari tabung surau ditahan reman

Motorsikal dengan nombor plat palsu turut dirampas: Polis

AMPANG, 9 Muharam 1444H, Ahad – Seorang pelajar tingkatan satu ditahan polis selepas dia dan rakannya disyaki terlibat mencuri tabung di sebuah surau di Taman Keramat Permai, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari selepas seorang pesara berusia 68 tahun melihat tabung di bahagian ruangan solat wanita tertanggal dari kedudukan asal pada jam 6 pagi, 28 Julai lalu.

Katanya, jumlah kerugian dialami sebanyak RM30 dan dia kemudian tampil membuat laporan polis.

“Kami menyiasat dan berjaya menahan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dan seorang lelaki berusia 21 tahun di Tasek Tambahan kira-kira jam 10.10 malam Sabtu (6 Ogos).

“Suspek pertama masih bersekolah di Sri Kembangan Selangor manakala seorang lagi suspek tidak bekerja,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah motosikal Yamaha Legenda dengan nombor plat palsu yang digunakan suspek turut dirampas.

“Modus operandi mereka adalah menyasarkan kotak derma masjid. Mereka akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tahanan reman terhadap suspek dibuat pada hari ini di Mahkamah Ampang dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sementara itu, ACP Farouk mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang jenayah termasuk kecurian dan menggunakan nombor plat palsu.

“Kami menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai sebarang jenayah di kawasan Ampang Jaya supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button