Dunia

Seorang lagi komander JIP terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza

Komander terbabit dikenali sebagai Khaled Mansour

MOSCOW, 9 Muharram 1444H, Ahad – Komander Kanan Jihad Islam Palestin (JIP) Khaled Mansour disahkan terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, menurut sayap kumpulan bersenjata, Briged Al-Quds pada Ahad.

Sebelum ini, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan bahawa seorang komander kanan Jihad Islam di utara Gaza, Tayseer Jabari, terbunuh dalam serangan udara Israel pada Jumaat.

Mansour, terbunuh dalam serangan udara Israel yang mensasarkan bandar Rafah pada malam Sabtu, lapor Sputnik.

IDF melancarkan operasi yang digelar Breaking Dawn terhadap gerakan Jihad Islam Palestin di Semenanjung Gaza pada Jumaat.

Selepas Jabari terbunuh dalam serangan itu, ketua Jihad Islam, Ziyad Nakhalah mengancam untuk bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Tel Aviv.

Israel menangkis serangan peluru berpandu dan melancarkan serangan baharu ke atas Semenanjung Gaza.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan pada Sabtu sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh manakala 215 lagi cedera akibat operasi Breaking Dawn oleh Israel.

Khaled al-Batsh, ketua biro politik Jihad Islam, memberitahu media pada Sabtu bahawa Jihad Islam tidak mempunyai pilihan lain selain mempertahankan dirinya dan rakyat Palestin daripada ancaman Israel.

Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz, selepas membuat penilaian mengenai situasi semasa di sekitar Semenanjung Gaza, dengan penglibatan ketua-ketua agensi penguatkuasaan undang-undang, mengarahkan tenteranya meneruskan operasi Breaking Dawn pada Sabtu.

Pejabat media IDF memberitahu Sputnik bahawa tentera Israel sedang bersiap sedia untuk melaksanakan operasi Breaking Dawn di Semenanjung Gaza selama seminggu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button