Berita UtamaDunia

Skandal LCS: Heret petualang sebenar ke mahkamah!

‘PM masih ada kuasa berbaki, sebelum bubar Parlimen cuba sikit tunjuk jantan’

BANGI, 9 Muharam 1444H, Ahad – Kerajaan digesa menjalankan tindakan tegas mengheret petualang yang bertanggungjawab dalam isu kegagalan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke muka pengadilan.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, isu ini bukan baharu dan sudah berlarutan lebih 10 tahun yang lalu. 

Beliau berkata, laporan penyiasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mana beliau merupakan salah seorang daripada anggota jawatankuasa itu, wajar dijadikan asas untuk kerajaan mengambil tindakan. 

“Sekarang, laporan PAC telah dibentang dan didedahkan. Lebih RM6 bilion duit rakyat hangus untuk projek yang semasa pembayaran dibuat, pelan kapal pun tak siap! Bayangkan, pembayaran dibuat, pelan kapal pun masih belum siap,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu bimbang untuk mengambil tindakan kerana beliau tidak terlibat sama sekali dalam isu itu.

“Saya mendesak, kerajaan pimpinan Perdana Menteri hari ini, heretlah petualang berkenaan di muka pengadilan. Tolong jangan kata SPRM tiada maklumat. Tolong jangan perbodohkan rakyat. SPRM ada maklumat, ada data. 

“Perdana Menteri yang masih ada kuasa berbaki ini, sebelum bubar Parlimen, cuba sikit tunjuk jantan. Jangan bimbang, Perdana Menteri yang ada sekarang tidak terbabit. Orang lain, saya kurang pasti,” katanya.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi PAC, Wong Kah Woh kerana berjaya melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dalam memastikan siasatan kes ini berjalan lancar.

“PAC mempunyai bidang kuasa yang terhad dan tidak mempunyai kuasa pendakwaan. Rakan-rakan di dalam PAC saya boleh katakan bertungkus-lumus sebaik mungkin secara profesional memanggil seorang demi seorang saksi.

“Lawatan oleh anggota PAC ke Lumut Perak pun telah dibuat untuk meninjau isu ini secara dekat,” katanya.

Terdahulu, Kah Woh berkata, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengenai pembinaan kapal tempur pesisir pantai LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Katanya, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendahaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Kah Woh berkata, perkara itu antara sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan isu LCS.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button