Berita Utama

Mansuh UPSR, PT3 jadikan PBS lebih berkesan

Pelaksanaan PBS bukan perkara baharu, bermula sejak 2011

BANGI, 10 Muharram 1444H, Isnin – Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dalam sistem pendidikan negara bagi membolehkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan lebih berkesan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, pelaksanaan PBS bukan perkara yang baharu bahkan telah bermula sejak 2011.

Bagaimanapun katanya, para guru masih terlalu memberi tumpuan kepada peperiksaan untuk memastikan murid memperoleh keputusan cemerlang.

“Bila nak mansuh peperiksaan, orang kata bagaimana nak mansuh kalau kita belum bersedia dengan PBS sedangkan PBS telah dilaksanakan sejak 2011.

“Perkara ini telah ada dalam sistem lebih 10 tahun, kalau 10 tahun tidak dapat laksana, mungkin 30 ke 40 tahun lagi pun kita belum bersedia… ini (berlaku) disebabkan yang jadi tumpuan guru adalah peperiksaan dengan fokus kepada latih tubi,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 dilaksanakan melalui proses yang panjang dan bukannya dibuat dalam sekelip mata.

Pemansuhan itu juga tidak dibuat sesuka hati, sebaliknya melalui pelbagai peringkat dimulakan dengan perbincangan, libat urus pelbagai pihak menggunakan data dan maklumat terperinci.

“Selagi peperiksaan masih ada dalam sistem pendidikan, maka semua hanya memberikan tumpuan untuk mendapat keputusan yang baik dan fokus kepada latih-tubi saja.

“Kita keluarkan peperiksaan dalam sistem pendidikan bagi menghasilkan guru yang lebih kreatif, inovatif dalam dalam pengajaran mereka supaya pembelajaran lebih menarik.

“Kita mahu mewujudkan nilai dalam diri pelajar yang rasa seronok belajar dan bertemu kawan di sekolah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button