Dunia

Gaza berdarah: PBB gesa semua pihak patuh gencatan senjata

Ucap takziah pada keluarga mangsa korban serangan ganas Israel

GENEVA, 10 Muharram 1444H, Isnin – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambut baik pengumuman gencatan senjata di Semenanjung Gaza bagi menamatkan pencerobohan selama tiga hari rejim Israel ke atas wilayah dikepung itu. 

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memuji usaha yang dilakukan Mesir sebagai koordinasi rapat dengan pertubuhan antarabangsa itu untuk membantu meredakan ketegangan. 

Pejabat Guterres dalam satu kenyataan turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa korban serangan keganasan rejim Israel di wilayah itu. 

“Beliau amat sedih dengan kehilangan nyawa dan mangsa cedera termasuk kanak-kanak, akibat serangan udara Israel di Gaza dan tembakan roket Jihad Islam ke arah Israel,” katanya. 

Menyeru semua pihak mematuhi perjanjian gencatan senjata, Guterres menegaskan komitmen PBB untuk mencapai penyelesaian dua negara berdasarkan resolusi berkaitan. 

Terdahulu, gencatan senjata yang diusahakan Mesir di Semenanjung Gaza telah berkuat kuasa jam 11.30 malam waktu Palestin pada Ahad.

Perjanjian gencatan senjata itu dibuat selepas tiga hari serangan udara Israel ke atas Gaza yang menyebabkan sekurang-kurangnya 44 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 360 yang lain cedera.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button