Hamas desak Israel bertanggungjawab atas jenayahnya terhadap Palestin
Masyarakat antarabangsa perlu beri tekanan kepada pendudukan haram hentikan pencerobohan

GAZA, 10 Muharam 1444H, Isnin – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menggesa masyarakat antarabangsa supaya mempertanggungjawabkan Israel terhadap jenayah yang dilakukan.
Jurucakap Hamas, Hazem Qasem berkata, Israel melakukan jenayah perang dan keganasan negara terhadap rakyat Palestin, justeru ia perlu bertanggungjawab di semua peringkat – merujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Penceroboham Israel ke atas Gaza adalah kesinambungan dasar pencerobohan Israel ke atas rakyat Palestin di mana sahaja mereka berada, termasuk di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki,” katanya.
Qasem mengulangi bahawa pencerobohan Israel memerlukan tindak balas daripada pejuang Palestin untuk memaksa musuh membayar harga bagi jenayahnya terhadap rakyat Palestin.
Beliau menggesa masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada pendudukan Israel bagi menghentikan pencerobohannya ke atas rakyat Palestin – yang menjurus kepada pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
Israel menamatkan serangan pengeboman selama tiga hari terhadap rakyat Palestin di Gaza malam tadi berikutan gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir.
Ketika serangan itu, 44 rakyat Palestin termasuk 15 kanak-kanak dan empat wanita terbunuh dan 360 yang lain cedera. – Agensi
Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/08/08/israel-palestin-setuju-gencatan-senjata/