Israel, Palestin setuju gencatan senjata
Perjanjian dibuat ketika jumlah korban sudah cecah 44 orang

KAHERAH, 10 Muharram 1444H, Isnin – Perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Mesir bagi menamatkan pencerobohan negara haram Israel selama tiga hari ke atas Semenanjung Gaza telah berkuat kuasa lewat Ahad jam 11.30 malam waktu tempatan.
Perjanjian itu dibuat ketika jumlah korban di Gaza meningkat kepada 44 orang dan lebih 360 yang lain cedera, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Dalam satu kenyataan, Mesir menyatakan kesungguhannya untuk menamatkan ketegangan di Semenanjung Gaza dan meningkatkan hubungannya dengan semua pihak bagi membendung situasi semasa.
Atas dasar itu, Mesir menyeru kepada gencatan senjata yang komprehensif berkuat kuasa 11.30 malam waktu tempatan pada Ahad.
Semua pihak yang terlibat dalam konflik telah mengumumkan persetujuan mereka terhadap perjanjian itu.
Jihad Islam bagi pihaknya telah mengesahkan gencatan senjata di wilayah itu.
“Gencatan senjata telah dicapai oleh pengantaraan Mesir yang berkuat kuasa pada 11.30 malam waktu Palestin,” kata jurucakapnya, Dauwd Shehab.
Sementara itu, ratusan rakyat Palestin berdemontrasi di Ramallah sebagai menentang pencerobohan Israel ke atas Gaza.
Berita berkaitan;